Tangani Isu Akses Pendidikan Tinggi

Rate this item
(1 Vote)

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudddin Shah bertitah, formula ajaib diperlukan bagi menangani tiga persoalan utama berhubung kemudahan dan akses yang melingkari dunia pendidikan tinggi.

   Ini kerana, titah baginda, aspek berkenaan dilihat semakin cenderung untuk dikomersialkan berbanding falsafah asal pendidikan, susulan perdebatan di antara pendidik dan kumpulan yang mengutamakan agenda perkembangan ilmu dengan kumpulan usahawan yang melihat peluang komersial dalam bidang itu.

   “Persoalan pertama, bagaimana kemudahan pengajian dapat diakses seramai mungkin pelajar? Kedua, bagaimana penyebaran ilmu dapat dioptimumkan untuk memastikan tiada pelajar berlatarbelakangkan status sosio-ekonomi rendah dinafikan peluang mendapatkannya disebabkan yuran pengajian di luar kemampuan?

   “Ketiga, bagaimana diimbangkan falsafah asal program pendidikan dengan kepentingan komersial yang dilihat memberi kelebihan kepada pelajar berlatar belakangkan status sosio-ekonomi yang tinggi? Formula ajaib diperlukan untuk menangani tiga persoalan ini,” titah baginda.

   Sultan Perak bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen Kelapan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) di sini, semalam. Seramai 478 graduan, menerima diploma masing-masing pada majlis itu yang turut di hadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Rektor KUISAS, Tan Sri Dr. Nordin Kardi.

 

Klasifikasi Universiti

Baginda bertitah, klasifikasi universiti kini terbahagi dua, iatu universiti bertaraf elit dengan autonomi sendiri dari segi dasar, dana, pengurusan, kurikulum, yuran pengajian dan pengambilan pelajar, manakala satu lagi adalah universiti bertaraf pertengahan.

   “Anak-anak dari keluarga elit mendapat tempat pengajian di universiti elit dan memiliki ijazah daripada universiti elit, meletakkan mereka jauh ke hadapan dalam persaingan untuk mengisi jawatan utama di tempat pekerjaan yang ternama.

   “Keadaan lebih memberatkan jika anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah, perlu melakukan pinjaman kewangan untuk membiayai pengajian dan setelah tamat pengajian, gagal mendapat kerja atau sekadar kerja yang memberikan pendapatan tidak mencukupi untuk menyara hidup dan membayar pinjaman,” katanya.

   Pada majlis semalam, tiga rakan serumah, Munazzahah Zulkifli, 24; Nur Amelia Zaheed, 21, dan Nabilatul uda Mohd Najmuddin, 21, masing-masing merangkul anugerah kecemerlangan utama peringkat diploma, termasuk anugerah tertinggi, Anugerah Diraja oleh Munazzahah yang mengikuti pengajian Usuluddin.

   Nur Amelia dari jurusan Syariah Islamiyyah merangkul Anugerah Rektor, iatu anugerah ketiga tertinggi, manakala Nabilatul Huda yang juga anak bekas EXCO Kerajaan Perak, Datuk Najmuddin Elias meraih Anugerah Terbaik Fakulti Pengajian Islam.

   Munazzahah, anak bongsu daripada sembilan beradik memperoleh gred kumulatif (CGPA) 3.95, berazam menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang sama, manakala Nur Amelia yang meraih CGPA 3.79 pula mahu meneruskan impian menjadi peguam syariah.

   Sementara itu, anugerah kedua tertinggi, Anugerah Menteri Besar di berikan kepada pelajar jurusan Kaunseling Islamik, Muhammad Shukri Mohd. Khalil.

Read 66264 times Last modified on Wednesday, 11 November 2015 02:39
Wednesday, 11 November 2015 02:19 Written by  In News